;D ... keluar dalam Harian Metro pada 31 Mei 2008 kat ruangan Dekotaman ... ;D
Keajaiban tillandsia
Oleh Hartini Mohd Nawi
tini@hmetro.com.my
IDEA setiap konsep pembinaan taman lebih memberikan seribu erti sekiranya sentuhan peribadi diketengahkan selari dengan kesesuaian tanaman dan ruang.
Apatah lagi, sifat tanaman yang fleksibel dan sesuai untuk pelbagai konsep taman memungkinkan penggunaan meluas di seluruh dunia.
Tillandsia umpamanya, mula menjadi tarikan peminat landskap dan pemilik kediaman kerana sinonim dengan elemen taman yang eksotik.
Mungkin masih kurang dikenali tetapi tillandsia sering kelihatan menghiasi laman melalui pelbagai karakter dan jenisnya.
Menurut Penasihat Teknikal B’Green Fertiliser Resources, Mohd Khairi Nordin, tillandsia ialah sejenis tumbuhan daripada keluarga bromeliad.
“Dua jenis spesies daripada famili bromeliad yang terkenal ialah nanas atau nama saintifiknya ananas comosus dan Spanish moss atau tillandsia usneiodes yang dikenali sebagai janggut nabi di negara ini.
“Tumbuhan ini dikatakan berasal dari Amerika yang mem punyai iklim tropika dan boleh hidup subur di negara kita selain ada 501 spesies tillandsia yang diketahui setakat ini,” kata Mohd Khairi.
Tumbuhan berkenaan pada habitat semula jadinya ialah tumbuhan epifit dan biasa ditemui hidup pada pokok pe rumah bersama tumbuhan epifit lain seperti orkid, paku pakis serta sesama famili bromeliad seperti vriesea, guzmania dan neoregelia.
Tidak dinafikan, keunikan tumbuhan itu sendiri yang sesuai untuk semua konsep taman membuatkan ia sering menjadi pilihan selain tidak memerlukan penjagaan rapi.
Akar tillandsia hanya berfungsi untuk memegang sesama sendiri atau media yang digunakan untuk menanamnya.
Makanan dan air diserap daripada persekitaran melalui satu sel pada daunnya dipanggil trichrome.
“Tillandsia lebih kelihatan menarik dan indah ketika ber bunga manakala tangkai bunganya itu boleh bertukar da ripada warna asal menjadi merah, jingga atau kuning.
“Selain tangkai bunga yang berwarna-warni, ia mampu bertahan dalam tempoh antara seminggu hingga tujuh bulan, bergantung kepada spesiesnya,” kata Mohd Khairi.
Setiap tillandsia yang matang hanya hidup dalam tempoh tertentu iaitu membesar, berbunga dan mati.
Bagaimanapun, selepas proses berbunga dan mati, tillandsia matang pasti mengeluarkan anak pokok yang dipanggil pup untuk meneruskan pembiakan generasinya.
Jumlah pup yang dikeluarkan mungkin berbeza untuk setiap spesies tillandsia dan secara purata, setiap tillandsia matang mampu mengeluarkan minimum dua pup dan maksimum 10 pup.
Menyedari ia antara tumbuhan yang sesuai di taman dan ruang kediaman, tillandsia hakikatnya amat mudah dijaga melalui beberapa teknik yang sesuai diketengahkan.
Antaranya adalah menghasilkan reka bentuk taman yang dipanggil bromscape iaitu taman yang hanya dipenuhi semua jenis pokok di dalam keluarga bromeliad kerana ada 51 genus di dalam famili berkenaan.
Taman epifit pula membabitkan tillandsia ditanam bersama dengan epifit lain seperti orkid dan paku pakis, sementara taman vertikal pula memperlihatkan dinding yang dihiasi dengan pelbagai tillandsia.
Ia juga terkenal sebagai tanaman hiasan gantung sama ada secara individu atau digabungkan dengan beberapa spesies tillandsia lain.
Bonsai tillandsia juga boleh ditampilkan menggunakan tunggul kayu sebagai media perumah tillandsia selain sesuai sebagai tanaman hiasan dalam akuarium.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tanaman unik ini, boleh layari laman web
bgreenfertilizer.googlepages.comNota : Kalau nak baca artikel original sia ada kat sini
bgreenfertilizer.googlepages.com